31 May 2011

Selepas Waktu Sekolah Dan Di Sekolah
by Greenpeace Canada

Setiap orang harus memainkan peranan dalam melindungi alam sekitar. Ada banyak cadangan aktiviti dalam laman web ini yang boleh anda lakukan dan mintalah bantuan orang dewasa untuk melakukannya. Ada banyak perkara yang anda boleh lakukan sendiri setiap hari untuk membantu menyelamatkan planet ini. Berikut adalah beberapa cadangan:


Selepas Waktu Sekolah

Jimatkan Air

  • Jangan biarkan paip air terbuka apabila anda tidak menggunakannya.

  • Mandi di pancur hujan, tak usah gunakan tab mandi.

  • Pasangkan mesin pencuci pinggan dan mesin basuh hanya apabila ia telah penuh.

Jimatkan Tenaga

  • Pasangkan lampu hanya apabila perlu dan padamkan apabila anda tidak menggunakannya untuk menjimatkan tenaga.

  • Jangan gunakan kereta. Berjalan, menunggang basikal atau gunakan kenderaan awam sekerap mungkin.

  • Jalankan program “bas sekolah berjalan”. Buat pelan jalan yang membolehkan anda mengangkut penumpang semasa anda berjalan ke sekolah.

  • Tutup pintu dan tingkap luar semasa musim sejuk – turunkan suhu jika anda berasa panas.

  • Selakkan langsir pada waktu siang untuk membolehkan haba dari matahari memanaskan rumah anda dan tutupkan langsir pada waktu malam untuk mengelakkan haba dari terlepas keluar.

  • Jangan naikkan suhu pemanas udara, sebaliknya pakailah baju sejuk.

Elakkan Membuat Banyak Sampah dan Bahan Toksik

  • Fikirkan cara untuk menggunakan semula barang-barang terpakai sebelum anda membuangnya. Contohnya, balang boleh digunakan sebagai bekas menyimpan makanan dan kertas boleh dibuat kertas nota.

  • Gunakan kertas yang telah dikitar semula, jangan gunakan produk-produk plastik.

  • Simpan makanan yang tidak habis, jangan buangkannya.

  • Beli produk yang mempunyai pembungkus yang paling sedikit.

  • Dermakan pakaian yang anda tidak mahu pakai lagi. Jangan buang.

  • Pergilah ke perpustakaan untuk membaca buku atau majalah, atau dermakan buku dan majalah yang anda sudah tidak mahu baca lagi.

  • Bawa beg anda sendiri apabila pergi berbelanja untuk mengelakkan penggunaan beg plastik.

Bantulah Bumi

  • Tanam pokok kerana pokok boleh menyerap dan menyimpan sejumlah besar karbon dioksida di udara dan menghasilkan oksigen, di samping membersihkan udara yang kita sedut. Semai benih dalam pasu di dalam rumah dan tanam di luar pada musim bunga. Anak pokok memerlukan penjagaan rapi dalam tempoh dua tahun yang pertama. Penjagaan anak pokok termasuklah menyiram air, memasang kayu sokongan dan sungkup. Dengan menanam dan menjaga pokok, anda dapat melihat ia tumbuh dan membesar dan mengambil tempat dalam kitaran alam.

  • Gunakan karton susu terpakai untuk membuat bekas makanan burung. Anda boleh melihat sendiri burung-burung yang datang makan. Jangan lupa simpan bekalan makanan burung. Sebaik sahaja mereka tahu mereka boleh makan di rumah anda, mereka akan datang lagi.


Di Sekolah

Melindungi planet boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian anda di sekolah. Berikut adalah beberapa idea untuk mengajak kawan-kawan dan guru-guru anda terlibat sama dalam usaha menyelamatkan bumi ini:

  • Gunakan bekas makanan yang boleh digunakan semula untuk menyimpan bekal makan tengahari anda. Jangan gunakan bekas pakai dan buang.

  • Sebelum membeli perkakas sekolah yang baru, lihatlah apa yang masih boleh digunakan.

  • Mulakan kempen kebersihan di sekolah anda.

  • Sertai kelab alam sekitar atau tubuhkan kelab tersebut jika sekolah anda tiada kelab seumpama itu.

  • Jadikan alam sekitar sebahagian daripada setiap subjek yang diajar di sekolah anda.

  • Rancangkan projek alam sekitar dengan pelajar-pelajar lain dan guru-guru. Anda boleh membersihkan persekitaran dari padang sekolah hinggalah ke kawasan sekitar yang berdekatan.

  • Periksa bekalan bahan-bahan pencuci, kebun, cat dan lain-lain di sekolah anda. Minta pihak sekolah menggunakan bahan-bahan yang tidak beracun. Mintalah persatuan alam sekitar anda menyenaraikan panduan alam sekitar untuk diamalkan di sekolah.

No comments:

Post a Comment