31 May 2011

Resepi Asas Untuk Pembersihan “Hijau”
by Greenpeace Canada

Terdapat banyak bahan pencuci yang mesra-alam. Marilah kita gunakan bahan-bahan ini di rumah kita.


Pencuci Serbaguna

½ cawan (125 ml) sabun tulen

1 gelen (4 liter) air panas

Untuk bau segar dan untuk menghapuskan minyak, tambah ¼ cawan (60 ml) jus limau nipis.

Campuran ini selamat digunakan pada semua permukaan. Setelah dicuci, ia harus dibilas dengan air. Ia sangat berkesan bagi kebanyakan tugas pencucian. Untuk mendapatkan pencuci yang lebih kuat, tambahkan dua kali ganda jumlah sabun dan jus limau nipis.


Pembasmi Kuman

Campurkan 50-100 ml minyak kayu putih dengan satu liter air.

Campuran ini boleh digunakan dalam botol sembur, tetapi jangan lupa goncang campuran ini dahulu sebelum digunakan untuk menyebarkan minyak.


Serbuk Sental

Gunakan berus yang kasar dan gosok dengan sabun tulen dicampur dengan garam biasa atau serbuk penaik.

Serbuk penaik juga sangat berkesan untuk kebanyakan permukaan jika digosok dengan span lembap. Anda juga boleh menambah herba yang berbau harum atau bunga ke dalam campuran serbuk sental ini. Masukkan kesemua bahan ke dalam pengisar dan kisar hingga keharumannya telah terserap dalam serbuk. Untuk membersihkan oven, sental dengan menggunakan serbuk penaik atau campurkannya dengan pencuci serbaguna yang kuat. Ingat, pakai sarung tangan semasa menyental.


Penyegar Udara

Penyegar udara komersil berfungsi dengan cara menyelubungi bau dan melitupi rongga hidung kita dengan bahan kimia yang merendahkan deria bau dengan melemahkan saraf. Elakkan produk-produk ini. Sebaliknya, cubalah pembersih udara semula jadi – pokok-pokok dalam rumah. Anda juga boleh mencuba resepi semula jadi ini untuk menghapuskan bau dan menambah kesegaran udara dalam rumah anda:

Gunakan serbuk penaik dalam tong sampah atau peti sejuk untuk membantu mengurangkan bau busuk dari sumber itu sendiri.


Larutkan 1 sudu teh (5 ml) serbuk penaik dalam 2 cawan (500 ml) air panas, tambah 1 sudu teh (5 ml) jus limau nipis. Tuangkan campuran ini ke dalam botol sembur dan semburlah seperti anda menyembur penyegar udara.

Letakkan beberapa hiris buah-buahan sitrus, bunga cengkih atau kulit kayu manis ke dalam periuk dengan air secukupnya dan renihkan selama satu atau dua jam.


Sabun Cecair Pencuci Pinggan

Parut seketul sabun tulen dan masukkan ke dalam periuk leper. Tutup dengan air dan renihkan di atas api perlahan hingga sabun itu cair. Tambahkan sedikit cuka ke dalam air untuk melawan kesan minyak yang degil dan untuk menghilangkan kesan kotor. Tuangkan ke dalam bekas dan gunakan seperti anda menggunakan cecair pencuci pinggan biasa.


Cermin, Kaca dan Tingkap

Cuci dengan sabun tulen dan air, bilas dengan campuran 1 bahagian cuka kepada 4 bahagian air. Gunakan kain keju yang boleh dibasuh dan diguna semula, jangan gunakan tuala kertas.


Karpet

Untuk membersihkan dan mengharumkan karpet: vakum, taburkan tepung jagung atau serbuk penaik, biarkan selama satu jam, kemudian vakum lagi. Bagi kesan degil, cuba gunakan air soda sejuk atau palitkan cuka dan air sabun beberapa kali.


Pengilat

Kebanyakan pengilat yang biasa dijual di kedai mengandungi pelarut yang berbahaya kepada alam sekitar. Penyembur aerosol bukan sahaja tidak berkesan, malah mengandungi gas berbahaya.


Pengilat Perabut: Larutkan 1 sudu teh (5 ml) minyak limau nipis dalam 1 cawan (250 ml) minyak sayuran. Sapukan dengan menggunakan kain buruk yang kering dan bersih.


Pengilat Lantai: Cairkan 1/8 cawan (30 ml) lilin parafin dalam dandang pemanas. Tambah 1 liter minyak mineral dan beberapa titik minyak limau nipis. Sapukan dengan menggunakan kain buruk, biarkan ia kering dan kilatkan.


Pengilat Logam

Tembaga: Cuba gunakan jus limau nipis dan sedikit garam atau cuka panas dan sedikit garam. Gunakan kain buruk untuk menggosok.


Kromium: Cuba gunakan tepung putih dan gosokkan dengan kain buruk.


Loyang: Cuba gunakan campuran garam dan tepung (pada kadar yang sama) dicampur sedikit cuka. Gosokkan dengan kain buruk.


Perak: Didihkan: 1 liter air, 1 sudu makan (15 ml) serbuk penaik dan sejalur kerajang aluminium. Masukkan barang perak itu, didihkan selama 3 minit dan gilap dengan menggunakan kain lembut. Atau gilap dengan campuran serbuk kayu dan air. Nota: Kaedah ini harus digunakan pada barang perak sejati sahaja, bukannya pada barang perak sadur.

No comments:

Post a Comment